TAKRIFAN PSS
Pusat Sumber Sekolah
Menurut Kassim Abbas (1990) pusat sumber adalah merupakan pusat yang mengumpul, menyebarkan berbagai-bagai maklumat dalam beberapa bilik atau bangunan khas yang diuruskan secara sistematik oleh kakitangan media yang terlatih untuk memberi berbagai-bagai perkhidmatan bagi mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.
Manakala menurut Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (1999) pula, pusat sumber ditakrifkan sebagai satu tempat yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan serta koleksi P&P yang diuruskan secara sistematik. Menerusinya pusat sumber memberi maklumat, khidmat dan peluang bagi mengukuhkan kaedah dan pendekatan P&P untuk menguasai kemahiran bagi keperluan individu serta memperingkatkan mutu pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berfikir, berilmu, gemar membaca, celik maklumat dan budaya maju serta berupaya meraih kecemerlangan menerusi pendidikan sepanjang hayat.
Dalam ledakan maklumat , konsep pusat sumber kini telah berubah iaitu ditakrifkan sebagai satu tempat yang mengedarkan perkhidmatan dan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran secara sistematik dalam pelbagai sumber, sama ada bercetak atau elektronik, memberi khidmat pemerolehan maklumat dan komunikasi dengan cepat dan tepat serta mempertingkatkan mutu pendidikan ke arah pembentukan masyarakat celik maklumat dan berdaya maju selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk menanam asas pendidikan seumur hidup serta mengembangkan lagi potensi murid ( Abdul Rafie, 1999).
Oleh itu pusat sumber dilihat bukan sahaja sebagai tempat memperolehi , mengumpul , mengelola dan menyimpan sumber pendidikan tetapi juga merupakan satu punca pergerakan dan aktiviti ke arah melaksanakan kaedah P&P yang berkesan dalam kalangan guru-guru.
Penggunaan Pusat Sumber Sekolah
Menurut Kamus Dewan (1991), penggunaan adalah bermaksud perihal menggunakan sesuatu. Rabiah (1988) merumuskan penggunaan pusat sumber sebagai proses mencari , membaca dan membuat rujukan bagi memperolehi maklumat untuk tujuan pembelajaran dan pengetahuan am. Manakala menurut Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kelantan (1998), penggunaan pusat sumber adalah bermaksud menggunakan bahan-bahan di pusat sumber untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam kalangan guru–guru dan murid–murid.
Bahan-bahan yang boleh digunakan oleh guru-guru dan murid-murid adalah termasuk alat dan bahan media seperti bahan cetak dan bahan bukan cetak. Manakala menurut Jamaludin Badusah, Muhammad Hussain dan Abd . Rasid Johar (2000) mengkategorikan bahan-bahan yang boleh digunakan oleh guru dan pelajar di pusat sumber kepada dua kategori bahan iaitu bahan bukan elektronik seperti buku, majalah, akhbar, model, papan flannel dan sebagainya. Satu kategori lagi ialah bahan elektronik seperti radio , TV Pendidikan , perakam pita , video , projektor overhead (OHP), pita slaid , kompuer dan sebagainya.
Jelasnya penggunaan pusat sumber adalah merupakan satu elemen penting yang perlu diberi perhatian bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan. Ini penting bagi memastikan pusat sumber memberi sumbangan ke arah melahirkan budaya ilmu dan budaya penyelidikan dalam kalangan pengguna-penggunanya.
Seterusnya dengan penggunaan pusat sumber yang efektif sama ada dalam kalangan guru atau pelajar sudah tentu akan dapat mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kepentingan Penggunaan Pusat Sumber
Terdapat pelbagai kepentingan daripada penggunaan pusat sumber dalam kalangan guru–guru dan pelajar-pelajar (Siti Hajar & Kamaruddin,1996). Kepentingan penggunaannya boleh dirumuskan seperti berikut :
Kepentingan Kepada Guru
1. Mewujudkan pendidikan yang lebih produktif.
2. Dapat mengaitkan pelajar dengan kehidupan sebenar.
3. Menjadikan pendidikan lebih seimbang dan bersepadu.
4. Memartabatkan profesion keguruan ke arah merealisasikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
5. Mewujudkan pengajaran yang lebih berkesan.
Kepentingan kepada Pelajar
1. Membimbing pelajar ke arah memupuk budaya penyelidikan.
2. Dapat mewujudkan pembelajaran kendiri.
3.Melahirkan pelajar yang kritis, kreatif dan inovatif.
4. Memupuk budaya kerja secara berpasukan.
5. Dapat mempraktikkan kemahiran belajar , mengesan dan menyebarkan maklumat.
6 Dapat Memperoleh Maklumat Terkini.
